Monday, 25 April 2011

ZINNIRAH: PENYERI DI FIRDAUSI

Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternila bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan.

Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam memepertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda.

Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah. Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. Beliau telah menerima dengan sepenuh hati.

Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keislamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meniggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah dan agama Islam sebelum keislamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.w. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anaknya perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum Muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalh rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan.


Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya. "Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan."

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. Hatinya dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi. Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.

SERIKANDI ISLAM : UMMU HABIBAH

Ummu Habibah atau nama sebenarnya Ramlah Binti Abu Sufyan. Inilah serikandi islam yang patut dijadikan teladan bagi muslimah zaman sekarang. Bagaimana tidak? orang-orang terdekat dan dicintainya merupakan musuh baginya. Mereka berusaha memurtadkan dan memalingkannya dari jalan kebenaran. Dialah salah seorang ummul mukminin yang banyak diuji keimanannya.

Ramlah Binti Abu Sufyan merupakan puteri kepada seorang pemimpin Quraisy dan orang-orang musyrik hingga penaklukan Mekah. Namun, Ramlah binti Abu Sufyan tetap beriman sekalipun ayahnya memaksa dirinya untuk kafir ketika itu. Abu Sufyan tidak mampu memaksa anaknya ketika itu kerana anaknya menunjukkan pendirian yang kuat dan semangat yang tekad. Ramlah Binti Abu Sufyan rela menanggung beban yang melelahkan dan berat kerana memperjuangkan akidahnya.

Pada mulanya, beliau menikah dengan Ubaidullah bin Jahsy, seorang muslim seperti beliau. Tatkala kekejaman kaum kafir terhadap kaum muslimin, Ramlah berhijrah menuju Habsyah bersama suaminya. Disanalah beliau melahirkan seorang anak perempuan, yang diberi nama Habibah. Dengan nama anaknya inilah beliau digelar dengan Kun` yah Ummu Habibah.

Ummu habibah senantiasa bersabar dalam memikul beban lantaran memperjuangkan dirinya yang dalam keterasingan dan hanya seorang diri, jauh dari keluarga dan kampung halaman. Bahkan terjadi musibah yang tidak dia sangka sebelumnya.

Beliau bercerita,
"Aku melihat dalam mimpi, suamiku dengan bentuk yang sangat buruk dan menakutkan. Aku pun terperanjat dan bangun, kemudian aku memohon perlindungan kepada Allah SWT dari hal itu. Ternyata tatkala pagi suamiku telah memeluk agama Nasrani. Kuceritakan mimpiku kepadanya, namun ia tidak mengubah pendiriannya."

Suaminya mencuba dengan segala kemampuan untuk memurtadkannya, namun Ummu Habibah tetap istiqamah. Bahkan beliau berusaha mengajak suaminya untuk kembali ke Islam, walaupun ditolak mentah-mentah dan malah suaminya semakin asyik dengan khamr. Hal ini berterusan hingga ia meninggal. Hari-hari berlalu di bumi hijrah, dengan ujian-ujian berat menemani Ummu Habibah. Tetapi dengan keimanan yang dikaruniakan Allah SWT, dirinya mampu menghadapinya.

Suatu malam, dia melihat dalam mimpinya ada yang memanggilnya;
"Wahai ummu mukminin...!"

Beliaupun terperanjat bangun. Beliau menakwilkan mimpi tersebut bahwa Rasulullah SAW kelak akan menikahinya. Setelah selesai masa iddah-nya, tiba-tiba ada seorang budak wanita (jariyah) dari Raja Najasyi yang memberitahukan kepada beliau bahwa Rasulullah SAW telah meminangnya.

Alangkah bahagianya beliau mendengar khabar gembira tersebut. Sehingga beliau berkata;
"Semoga Allah memberikan khabar gembira untukmu"

Kerana terlalu gembira dengan khabar itu, beliau menanggalkan gelang kakinya lalu diberikan kepada budak wanita yang membawakan perkhabaran tersebut. Setelah itu, beliau meminta Khalid bin Sa'id bin Al-‘Ash untuk menjadi wakil baginya menerima lamaran Raja Najasy.

Rasulullah bertemu dengannya pada tahun ke enam atau ke tujuh Hijriyah. Ketika itu Ummu Habibah berumur 40 tahun. Ummu Habibah menempatkan urusan agama pada tempat yang pertama. Beliau utamakan akidahnya daripada keluarga. Beliau menyatakan bahwa kesetiaan beliau adalah tidak berbelah bahagi untuk Allah dan Rasul-Nya bukan untuk seorang pun selain keduanya.

SAIRUN (PENGEMBARA)

Mawlaya Ya Mawlay
Mawlaya Ya Mawlay
Mawlaya Ya Mawlaya
Mawlaya Ya Mawlaya
Mawlay
Tuhan yang memanggilku
Kekasihku yang hampir denganku

Mawlaya Inni Sairun
Lid Dini Hatman Sairun
Fal Qudsu Sohat Ghadirun
Adma Fuadit Thohiru
Wahai Tuhanku,
Sesungguhnya aku hanya pengembara
Untuk agama Engkau aku akan terus mengembara
Al-Quds menjerit-jerit memanggilku
Hancur hati aku mendengarnya

Wa Nida’ul Aqsa Bkani
Fajra Wijdani
Wa Dhomirul Ummati Ya Rabbi
Mata Bila Jani
Panggilan Aqsa membuatku menangis
Meluluhkan jiwa ragaku kesedihanku
Kerana jiwa dan hati umati ini telah mati dan tidak dapat dihidupkan
Maka ia tidak dapat merasa

Mujrimun Qolu Li Anni
Arfudhuz Dzullal Kabir
Arfudhul ‘Isya Bisumtin
Dhommahul Qahrul Marir
Mereka kata aku ini penjenayah
Kerana aku menolak penghinaan besar ini
Kerana aku menolak untuk terus berdiam diri

Falyaqulu Ma Yaqulu
Anta Man Arju Ridhoh
Anta Man Ta’lamu Anni
Laka Arkhastul Hayah
Maka katakanlah apa yang engkau hendak kata!
Pada engkau ya Allah aku harapkan keredhaan
Hanya Engkau yang Maha Mengetahui
Sesungguhnya aku sanggup menggadai nyawaku untukMu

Ya Man Ruwait, Bi Dimaika Asyjaral ‘Izzati Wal Intisar
In Yasriquka Min Tarikhina, Lan Yanzi’uka Min Sudurina
Wahai orang yang telah syahid
Dengan darah-darah engkau maka hiduplah pohon-pohon
Izzah (kemegahan) dan Intisar (kemenangan)
Jika mereka mencuri Al- Aqsa dari sejarah kami
Mereka tidak dapat mencuri Al-Aqsa dari hati kami.

Ya Syahid Ya Syahid Ya Syahid
Wahai syuhada’ Wahai syuhada’ Wahai syuhada’
(Mereka yang menjual nyawa mereka untuk Allah)

Wednesday, 6 April 2011

SAHABATKU…

Maaf, mungkin selama ini, aku bukanlah sahabat yang baik
Maaf juga, mungkin aku sering melalaikanmu
Maaf lagi,mungkin aku membuatmu rasa sedih tersisih
Maaf juga, kerana ada bicaraku yang pedih
Maaf sungguh, kerana mungkin selama bersahabat ini aku sering tidak memahamimu
Tapi janganlah kau lupa sahabatku
Bahawa aku hanyalah hamba Allah yang biasa
Kerana kelemahanku itu
sering  aku panjatkan doaku
padamu dikesempatan yang ada
Moga Allah selalu menyayangimu
Kerana siapa pun kamu
Kamu itu sahabatku……

Thursday, 24 March 2011

~PALESTIN~

Matahari malu menunjukkan sinarnya
Beburung terbang bebas di angkasa
Menjadi saksi ada lagi mangsa  kerakusan mereka
Kerna tusukan peluru manusia durjana
Palestin….
Terasa perit melihat keangkuhan mereka
Teramat kejam mereka kepada diri kalian
Hati ini bagai kaca yang jatuh apabila melihatnya
Menjadi keping-kepingan yang berantakan
Tetapi aku hanya menunduk pasrah dengan doa
Mereka melakukan kemusnahan yang tidak berperi kemanusiaan
Tetapi dirimu tidak pernah gentar mengahadapi keangkuhan mereka
Bagimu kematian  adalah satu kenikmatan
Pelestina….
Kau mereka anggap binatang tunggangan
Yang bisa di lakukan apa sahaja
Usah kau gentar kejayaan milikmu palestin
Kemusnahanmu akan terbalas dengan kemusnahan mereka jua
Usah kau ragu dan bimbang kami akan tetap bersamamu
Membantu sekadar yang termampu jasad ini lakukan
Kau bukan sedirian ada kami disini yang akan selalu mendoakan mu
Bangkitlah palestina bumi suci yang subur dengan keimanan

Wednesday, 23 March 2011

PERTAMA KALI SAYA MENJEJAKKAN KAKI KE PERKAMPUNGAN ORANG ASLI

Pada  22 Februari 2011, saya telah menyertai Program Latihah Amali Dakwah di Tanah Gembur, Ledang Johor Darul Takzim. Tujuan Program ini di jalankan adalah untuk mendedahkan serba sedikit tentang Islam kepada masyarakat orang asli. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke perkampungan orang asli yang mana sebelum ini saya hanya pernah lihat masyarakat asli hanya di kaca tv, tetapi pada hari itu saya berkesempatan berjumpa dengan mereka. Saya tinggal di sana selama 7 hari. Di antara aktiviti pertama yang kami jalankan ialah menyediakan makan malam untuk mereka. Pada mulanya, saya menjangkakan ia kurang dapat menarik minat dan penyertaan Orang Asli tempatan untuk menikmati makan malam bersama kami, tetapi jangkaan saya meleset. Ramai juga orang asli yang turun pada malam tersebut. Dalam kesempatan ini, saya berpeluang untuk mengenali masyarakat asli dengan lebih dekat sekali. Di sana saya telah di berikan keluarga angkat, dan mendapat adik angkat seramai 7 orang. Saya dan rakan-rakan yang lain tidak tinggal di rumah keluarga angkat sebaliknya kami tinggal di balai yang telah di sediakan. Setiap hari kami akan menziarahi keluarga angkat. Bagi yang keluarga angkat dekat rumahnya mereka akan berjalan kaki dan bagi yang keluarga angkat jauh mereka pergi menaiki bas. Saya sempat berkongsi dengan keluarga angkat dengan dalam banyak perkara termasuklah berkenaan budaya, adat, nilai dan sebagainya. Saya dapat simpulkan bahawa, adat budaya mereka telah banyak mengalami perubahan. Adat budaya mereka juga sudah semakin dilupakan oleh Orang Asli sendiri.
  
ketika bersama keluarga angkat

Monday, 21 March 2011

MANISNYA TAHAJUD

"Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.
Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.
Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, "Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!" Abu Sulaiman pula berkata, "Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini."
Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.
Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka."
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur."
Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.
Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas."
Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa."