Monday, 25 April 2011

SERIKANDI ISLAM : UMMU HABIBAH

Ummu Habibah atau nama sebenarnya Ramlah Binti Abu Sufyan. Inilah serikandi islam yang patut dijadikan teladan bagi muslimah zaman sekarang. Bagaimana tidak? orang-orang terdekat dan dicintainya merupakan musuh baginya. Mereka berusaha memurtadkan dan memalingkannya dari jalan kebenaran. Dialah salah seorang ummul mukminin yang banyak diuji keimanannya.

Ramlah Binti Abu Sufyan merupakan puteri kepada seorang pemimpin Quraisy dan orang-orang musyrik hingga penaklukan Mekah. Namun, Ramlah binti Abu Sufyan tetap beriman sekalipun ayahnya memaksa dirinya untuk kafir ketika itu. Abu Sufyan tidak mampu memaksa anaknya ketika itu kerana anaknya menunjukkan pendirian yang kuat dan semangat yang tekad. Ramlah Binti Abu Sufyan rela menanggung beban yang melelahkan dan berat kerana memperjuangkan akidahnya.

Pada mulanya, beliau menikah dengan Ubaidullah bin Jahsy, seorang muslim seperti beliau. Tatkala kekejaman kaum kafir terhadap kaum muslimin, Ramlah berhijrah menuju Habsyah bersama suaminya. Disanalah beliau melahirkan seorang anak perempuan, yang diberi nama Habibah. Dengan nama anaknya inilah beliau digelar dengan Kun` yah Ummu Habibah.

Ummu habibah senantiasa bersabar dalam memikul beban lantaran memperjuangkan dirinya yang dalam keterasingan dan hanya seorang diri, jauh dari keluarga dan kampung halaman. Bahkan terjadi musibah yang tidak dia sangka sebelumnya.

Beliau bercerita,
"Aku melihat dalam mimpi, suamiku dengan bentuk yang sangat buruk dan menakutkan. Aku pun terperanjat dan bangun, kemudian aku memohon perlindungan kepada Allah SWT dari hal itu. Ternyata tatkala pagi suamiku telah memeluk agama Nasrani. Kuceritakan mimpiku kepadanya, namun ia tidak mengubah pendiriannya."

Suaminya mencuba dengan segala kemampuan untuk memurtadkannya, namun Ummu Habibah tetap istiqamah. Bahkan beliau berusaha mengajak suaminya untuk kembali ke Islam, walaupun ditolak mentah-mentah dan malah suaminya semakin asyik dengan khamr. Hal ini berterusan hingga ia meninggal. Hari-hari berlalu di bumi hijrah, dengan ujian-ujian berat menemani Ummu Habibah. Tetapi dengan keimanan yang dikaruniakan Allah SWT, dirinya mampu menghadapinya.

Suatu malam, dia melihat dalam mimpinya ada yang memanggilnya;
"Wahai ummu mukminin...!"

Beliaupun terperanjat bangun. Beliau menakwilkan mimpi tersebut bahwa Rasulullah SAW kelak akan menikahinya. Setelah selesai masa iddah-nya, tiba-tiba ada seorang budak wanita (jariyah) dari Raja Najasyi yang memberitahukan kepada beliau bahwa Rasulullah SAW telah meminangnya.

Alangkah bahagianya beliau mendengar khabar gembira tersebut. Sehingga beliau berkata;
"Semoga Allah memberikan khabar gembira untukmu"

Kerana terlalu gembira dengan khabar itu, beliau menanggalkan gelang kakinya lalu diberikan kepada budak wanita yang membawakan perkhabaran tersebut. Setelah itu, beliau meminta Khalid bin Sa'id bin Al-‘Ash untuk menjadi wakil baginya menerima lamaran Raja Najasy.

Rasulullah bertemu dengannya pada tahun ke enam atau ke tujuh Hijriyah. Ketika itu Ummu Habibah berumur 40 tahun. Ummu Habibah menempatkan urusan agama pada tempat yang pertama. Beliau utamakan akidahnya daripada keluarga. Beliau menyatakan bahwa kesetiaan beliau adalah tidak berbelah bahagi untuk Allah dan Rasul-Nya bukan untuk seorang pun selain keduanya.

No comments:

Post a Comment